Tuesday 2 January 2018

Banjir Di SK Pulau Aur

Hujan lebat yang turun tidak berhenti-henti dari semalam dan berlarutan hingga ke malam, menyebabkan air dari bukit turun dengan deras sekali. Sungai yang kecil menjadi besar dengan serta merta. Ditambah lagi dengan air pasang besar, menyebabkan air dari bukit tidak terus ke laut.

Ini merupakan kali pertama bagi cikgu-cikgu yang mengajar di sini mengalaminya. Air memasuki kuarters-kuarters guru. Bilik ICT, VDI, perpustakaan, bilik Buku Teks dan bilik tangki bomba yang berada di paras bawah bangunan sekolah turut di masuki air.

Perasaan guru pada ketika itu sedikit gerun kerana ia berlaku di waktu malam. Saya sendiri pun tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan sebegitu. Semoga Allah memberi keselamatan pada warga pendidik SK Pulau Aur dan masyarakat Pulau Aur.

Gambar ihsan dari guru-guru SK Pulau Aur.



Court badminton dipenuhi air


Air memasuki kuarters guru


Rumah jaga yang berada di paras rendah ditenggelami air paras pinggang

Air sungai depan sekolah melimpah





Sungai belakang sekolah/kuarters









KSPP turut terancam dihanyutkan

Guru-guru memantau keadaan depan sekolah




Tuesday 19 September 2017

Terima Kasih Cikgu Nordin

TERIMA KASIH CIKGU...!!!

Setiap yang datang tetap akan pergi. Yang baik dan indah tak selamanya kekal di tempat itu. Terima kasih Cikgu Nordin bin Abd Rahman atas jasa khidmat beliau menjadi Guru Besar di SK Pulau Aur. Mula bertugas di sini pada tahun 2015 hingga 2017.

Sepanjang khidmat di sini, beliau sangat-sangat bertoleransi dengan setiap kerenah dan masalah guru-guru. Bukan itu sahaja, beliau juga sangat mesra dengan masyarakat sekeliling walaupun terpaksa mendengar dan meghadapi pelbagai masalah.

Pastinya pertukaran beliau ke daerah yang dimohonnya sangat-sangat terasa kehilangan. Semoga cikgu Nordin terus berjaya di tempat baru beliau. Pastinya kenangan sepanjang bertugas di pulau yang jauh ini terus tersemat di hatinya.

TERIMA KASIH CIKGU....!!!


Tuesday 6 June 2017

Entry Terakhir

Damainya suasana desa
Tempat ku mencari ilmu
Pesan guru tak akan ku lupa
Tekun usaha jangan jemu

Kami hayati semua pelajaran
Penuh dugaan dan cabaran
Rukun Negara kami mengamalkan
Doa restu kami harapkan

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong blog ini sejak ia mula dibina. Selain daripada minat saya, blog ini dibina atas idea Guru Besar Jasmi yang mahu sekolah ini dikenali. Katanya, manfaatkan internet yang ada walaupun kita hanya sekolah pedalaman. Tunjukkan kepada guru-guru baru bahawa sekolah pedalaman bukanlah teruk seperti yang digambarkan. Cuma ia sukar untuk diakses. Jadikan segala kekurangan yang ada sebagai satu cabaran.

Blog ini terus mendapat sokongan daripada guru besar lain yang silih berganti seperti Guru Besar Mohd. Sukhimi dan Guru Besar Nordin (guru besar sekarang).

Untuk kisah-kisah terbaru mungkin tidak akan dikemaskini di dalam blog ini. Mungkin barisan guru baru ada idea lain yang lebih baik.

Sedih. Ya...sangat sedih kerana tidak lagi bertugas di sekolah ini. Kenangan pahit dan manis di sekolah ini terlalu banyak. Kesal dan terkilan atas pertukaran ini. Saya insan normal yang fitrahnya begitu. Cuba untuk menerima dengan hati yang terbuka kerana perancangan Allah adalah yang terbaik. Bak kata seorang hamba Allah, ianya telah tertulis di Luh Mahfuz.

Akhir kata, saya mohon maaf sekiranya ada perkara-perkara yag terguris di hati pembaca samada secara langsung dan tidak langsung. Jika terdapat sebarang gambar anda yang tidak disenangi dipaparkan di alam blog ini, boleh mohon untuk dikeluarkan. Tidak lupa kepada barisan guru sepanjang saya bertugas di sekolah ini yang banyak memberi kerjasama. Untuk anak-anak murid kesayangan cikgu, sesi 2010 - 2017, kamu adalah kenangan indah.

tamat....

Thursday 25 May 2017

Majlis Pertukaran Guru-Guru SK Pulau Aur, SK Pulau Tinggi dan SK Peta dan Selamat Datang Kepada Ahli Baru Sekolah-Sekolah Pulau dan Peta

Ku sangka panas sampai ke petang. Rupanya mendung di tengah hari. Begitu jugalah pekerjaan kita. Kita ingatkan selamanya bertugas di sekolah tapi atas faktor-faktor keperluan, beralih juga. Owh....ini bukan pertukaran eg-Tukar ok. Hihihihi.....

Apapun, perancangan Allah adalah yang terbaik walaupun berat hati kita.

Majlis ini diadakan oleh akak-akak Pembantu Tadbir sekolah pulau dan Peta. Berikut adalah beberapa rakan guru yang terlibat dengan arahan pertukaran :

  • Cikgu Fitrizan bin Azizan dari SK Pulau Aur arahan pertukaran ke PPD Mersing
  • Cikgu N. Aniham bin Abdul Majid dari SK Pulau Tinggi arahan pertukatan ke PPD Mersing
  • Cikgu Zakaria bin Lamri dari SK Peta arahan pertukaran ke PPD Mersing
  • Cikgu Badrul Hisyam bin Bakerin dari SK Peta arahan pertukaran ke SK Tenglu
  • Cikgu Baharuddin bin Dahlan dari SK Peta arahan pertukaran ke SK Bandar T6, Kluang
Semoga lebih berjaya di tempat baru. Amin.

Pepatah Melayu mengatakan, patah hilang tumbuh berganti. Bagi mengisi kekosongan yang ada di sekolah-sekolah Peta dan pulau, berikut adalah cikgu-cikgu yang mengisi kekosongan tersebut.
  • Cikgu Norianto bin Ahmad Sukani dari SK Sri Mersing dilantik menjadi Guru Besar SK Peta menggantikan Cikgu Zakaria bin Lamri.
  • Cikgu Othman bin Taib dari SK LKTP Tenggaroh 6 dilantik menjadi Guru Besar SK Pulau Tinggi menggantikan Cikgu N. Aniham bin Abdul Majid.
Semoga dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan pedalaman.

Majlis dihadiri oleh beberapa rakan guru sekolah-sekolah pulau dan Peta.

Ucapan aluan 

Yang dirai 


Rakan-rakan 

Jangan sedih 







Terima kasih kepada kakak-kakak PT yang sudi mengadakan majlis ini. Kali ini tak ada gambar group kerana cikgu yang selalu ambil gambar adalah insan yang diraikan. Hahahahahaha.....

Friday 5 May 2017

Guru Baru ke SK Pulau Aur

Nama penuh, Muhamad Fareez Farhan bin Che Rosli. Berasal dari Bandar Kluang. Anak ke ___(rahsia)___. Mendapat pendidikan perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Major dalam Bahasa Inggeris. Single but not available. Jangan try ok.

Orangnya sangat senang didekati. Tidak loket dengan senyum yang comel. Takkala mendapat keputusan penempatan, beliau dengan teruja mencari maklumat berkaitan SK Pulau Aur di internet. Menurut Fareez, beliau banyak mendapat informasi dari dua laman sesawang iaitu skpulauaur.blogspot.my dan akukahtuah.blogspot.my.

Di samping blog, melalui applikasi instagram, beliau menghubungi Cikgu Mohd Syafiq dan Cikgu Tuah untuk mendapatkan lebih informasi. Katanya, gambar-gambar cikgu di pulau sangat cantik dan kelihatan gembira berada di sana.

Di tanya tentang perasaan, beliau pada mulanya tidak pernah mendengar nama Pulau Aur walhal beliau merupakan anak jati Johor. Beliau hanya pernah mendengar Pulau Pemanggil, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi. Dengan perasaan teruja dan ingin tahu yang mendalam, maka internet menjadi rujukan untuknya mencari maklumat. Alhamdulillah beliau berjaya dan tidak sabar untuk mengajar di sekolah pedalaman 3 ini. Beliau menanam semangat untuk menjadikan ini pengalamannya yang terbaik.

Daripada kisah di atas, dapatlah disimpulkan bahawa laman sosial seperti blog ini banyak memberi manfaatnya dari segi informasi dalam konteks dunia pendidikan.

Bot seawal jam 5 pagi dari jeti Mersing tidak mematahkan semangat cikgu Fareez. Dengan iringan doa ibu dan bapa, cikgu Fareez belayar membelah laut gelap menuju ke Pulau Aur.

Di jeti Teluk Berhala, ketibaannya dinanti-nantikan oleh Cikgu Mohd Syafiq dan Ustaz Wan. Kedatangannya telah dimaklumkan oleh Guru Besar, Encik Nordin. Melihatkan senyuman dan keramahan Cikgu Mohd Syafik dan Ustaz Wan ketika menyambut kedatangannya beliau, maka tidak salahlah pepatah, tak kenal maka tak cinta. Mungkinkah hatinya sudah terpaut di Pulau Aur.

Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada Cikgu Fareez. Diharapkan keberadaan Cikgu Fareez di SKPA ini dapat memberi impak positif kepada kemenjadian anak murid sekolah. Sekolah mengalu-alukan kedatang cikgu.





*Gambar ihsan dari Ustaz Wan